Jawatan, pangkat hanya suatu amanah

Saturday, June 11, 2011

KEWAJIPAN menunaikan amanah adalah tuntutan utama dalam agama Islam. Punca utama kerosakan umat, kegawatan ekonomi dan kepincangan politik hari ini adalah disebabkan amanah yang sudah tidak diberi perhatian lagi.

Kepemimpinan adalah amanah yang penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan umat. Abu Zar pernah meminta jawatan kepada Baginda Nabi SAW lalu Baginda menepuk bahu Abu Zar seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau tidak mampu. Jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” – (Hadis riwayat Muslim)

Di sinilah bermula kesinambungan pelaksanaan agama dalam menjalankan amanah kepemimpinan yang berpaksikan kepada perintah dan tegahan daripada Allah SWT. Oleh itu, jawatan disandang akan mendorong ke arah menepati kehendak Allah seterusnya menjamin keselamatan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Kami jadikan negeri akhirat itu untuk mereka yang tidak mengimpikan ketinggian di dunia dan tidak melakukan kerosakan.” – (Surah Al-Qasas, ayat 83)

Memetik khutbah Imam Dua Madinah, Syeikh Husain Abd Aziz, Islam mewajibkan semua pemimpin berlaku adil dalam semua urusan berkaitan kepemimpinannya sehingga Nabi SAW meletakkan kedudukan pemimpin yang adil setaraf mereka yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu mengembalikan amanah kepada empunyanya dan hukumlah dengan adil antara sesama manusia.” – (Surah An-Nisa’, ayat 58)

0 comments:

 
 
 
 
Copyright © kpprasm