CUEPACS MOHON KERAJAAN PERTIMBANG BONUS DUA BULAN

Sunday, July 17, 2011

KUANTAN, 15 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada seluruh penjawat awam tahun ini.
Presidennya Datuk Omar Osman berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi mengenai perkara itu dan mengharapkan berita baik daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet Oktober ini.

"Kami telah menghantar surat memohon dua bulan bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi keseluruhan penjawat awam, namun ia tertakluk kepada kemampuan kerajaan.

"Penjawat awam harapkan sesuatu tahun ini kerana syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ada yang mendapat sehingga lapan bulan bonus sedangkan kita penjawat awam yang betul-betul di bawah kerajaan persekutuan, negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan hanya dapat bantuan khas RM500," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan kali ke-24 Anulae cawangan Majlis Perbandaran Kuantan di sini, Jumaat.

Beliau berkata pemberian bonus yang kali terakhir diberi pada dua tahun lepas perlu dipertimbangkan berdasarkan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa ini.

Selain itu katanya, produktiviti penjawat awam juga semakin meningkat sehingga ada kementerian dan jabatan yang berjaya mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Kita mahu tekankan produktiviti, nak naikkan semangat sayangkan kerja...mesti ada insentif," katanya.

Baca Seterusnya..

Memahami undang-undang jenayah siber

Thursday, July 7, 2011

KINI tanya saja, siapa yang tiada laman web sosial? Seawal usia awal tadika sehingga ke usia emas boleh dikatakan mempunyai akaun laman web sosial.
Selain itu rakyat negara ini juga lebih gemar membayar bil dan membeli-belah di alam maya.Mereka tidak perlu bimbang dengan masalah tempat letak kereta, masa kaunter bil dibuka atau mungkin diragut.Kini semuanya di hujung jari!
Bagaimanapun dunia tanpa sempadan kini sebagai lubuk kepada penjenayah siber bagi pengguna yang leka dan tidak berhati-hati.

Walaupun modus operandinya berbeza tetapi kesan yang ditinggalkan masih sama - kerugian dan mungkin trauma.

Jika dulu banyak kes jenayah siber menjurus kepada teknikal dan melibatkan mereka yang pakar dan pengkomputeran seperti virus, botnet dan malware.

Tetapi kini jenayah siber di Internet menjurus kepada aktiviti sosial yang melibatkan pelbagai jenis penipuan.

Suatu masa dulu tentu ramai yang pernah menerima emel mengenai pemindahan harta pusaka yang melihatkan berbilion ringgit menyebabkan mangsa kerugian.

Selepas itu kenalan di laman sosial yang kononnya menghantar pelbagai barangan dan wang tunai dan 'tersangkut' di pihak kastam menyebabkan mangsa kerugian ratusan ribu ringgit.

Ini merupakan beberapa kes penipuan yang berlaku di alam siber.

Timbalan Presiden Perhubungan Jaringan Komunikasi Cyber Security Malaysia, Mohd. Shamir Hashim berkata, walaupun kes jenayah siber sama seperti jenayah lain tetapi masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa adalah mencari bahan bukti.

"Masalahnya dalam jenayah siber sukar bagi mendapatkan bahan bukti yang nyata seperti jenayah biasa misalnya pembunuh atau perompak.

"Bukannya tidak ada bukti tetapi mengambil masa untuk mencari bukti-bukti yang kukuh kerana segalanya adalah siber," kata beliau.

Justeru bagi merapatkan jurang antara pengamal undang-undang dan kes-kes jenayah siber, Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia (SCSM) akan menganjurkan seminar bertajuk Merapatkan Jurang: Perundangan dan Teknikal Mengenai Kes Jenayah Siber' bermula esok hingga Khamis ini.

Seminar yang pertama kali dianjurkan di negara ini akan menggabungkan aspek undang-undang dan teknikal bagi jenayah siber.

Seminar berkenaan disasarkan bagi membina landasan bagi mengumpulkan pakar undang-undang dan teknikal terutama mereka yang terlibat dalam kes jenayah siber.

"Mereka akan berkongsi maklumat berasaskan pengalaman dan bidang kepakaran," tambah beliau.

Sesinya direka khusus bagi memberi peluang kepada peserta berinteraksi dengan tenaga pakat serta membincangkan kaedah penyelesaian jenayah dan keselamatan siber.

Bagi memastikan semua peserta mendapatkan maklumat yang dikehendaki, tempat adalah terhad dan peserta digalakkan membuat pendaftaran.

Antara penceramah ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia , Lt. Kol. (B) Datuk Husin Jazri selain pegawai dari Jabatan Peguam Negara, , Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) , Bank Negara Malaysia (BNM), dan beberapa tokoh dari luar negara termasuk Office of Antiterrorism Assistance (ATA).U/Malaysia

Baca Seterusnya..

Tafsir Ayat: Pemimpin amanah tak amal pilih kasih

FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’, ayat 58).

Amanah adalah sifat terpuji yang dianjurkan Islam kepada setiap Muslim sebagai garisan pemisah kepada keimanan dan keagamaan individu.
Ini ditegaskan sendiri oleh Rasulullah dalam satu hadis yang bermaksud: “Tiada iman bagi yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Dailami).Jelas diterangkan dalam hadis orang yang tidak menghiasi dirinya dengan sifat amanah atau tidak dipercayai ramai dalam memegang sesuatu amanah serta melakukan khianat kepada umat manusia bererti dia bukanlah orang yang benar-benar beriman kepada Allah.

Ibnu Kathir menjelaskan, sebab turunnya ayat ini ketika Rasulullah SAW meminta kunci Kaabah daripada Uthman bin Talahah bin Abu Talhah sewaktu penaklukan Makkah, kemudian menyerahkannya kembali kepada Uthman yang juga dari keturunan Abdil Dar yang mewarisi amanah kunci Kaabah setelah sekian lamanya sehingga ke hari ini.

Sifat amanah mengungkap pengertian yang sangat luas dan mendalam. Ia bukan sekadar membawa erti bersikap jujur dalam urusan kehidupan, malah merangkumi setiap tanggungjawab yang perlu ditunai membabitkan pemimpin, rakyat, ibu bapa, anak dan individu Muslim.

Islam telah menyerahkan amanah dan tanggungjawabnya kepada setiap individu terhadap Allah, malah setiap manusia dilahirkan sebagai seorang pemimpin seperti mana dijelaskan Rasulullah: “Setiap orang daripada kamu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat yang dipimpinnya. Seorang lelaki adalah pelindung kepada ahli keluarganya dan bertanggungjawab terhadap tanggungannya. Seorang perempuan di rumah suaminya adalah penjaga dan bertanggungjawab terhadap jagaannya, begitu juga seorang khadam sebagai penjaga amanah harta tuannya dan bertanggungjawab terhadap jagaan di bawahnya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Rasulullah ketika remaja seorang pemuda yang amanah sehingga digelar ‘al-Amin.’ Begitu juga nabi Musa ketika baginda membantu dua orang gadis memberi minum binatang ternakan mereka.

Pengajaran yang terselit daripada kisah ini ialah utusan Allah dipilih dari kalangan semulia-mulia manusia dari segi kemuliaan peribadinya, keturunannya dan tabiatnya. Inilah hakikat sifat amanah yang dianjurkan oleh Islam kepada umatnya.

Begitu juga contoh teladan ditunjukkan Saidina Umar al-Khattab, khalifah yang sangat terkenal dengan kejujuran dan kehebatannya dalam kepemimpinan. Corak kehidupan Saidina Umar amat sederhana sehingga utusan khas dari Syam sukar untuk mengenali beliau.

Hal ini kerana utusan dari Syam itu mendapati Saidina Umar tidur di bawah pohon beralaskan tanah tanpa sebarang pengawasan tentera, apatah lagi jauh daripada warna-warni kemewahan dan juga tidak terserlah darinya lambang kebesaran sebagai raja atau pemimpin dunia.

Dalam hal ini, pemimpin sewajarnya bersifat amanah dan jujur dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab diamanahkan rakyat kepada mereka. Pemimpin dilarang mengamalkan perasaan pilih kasih kerana ia termasuk dalam erti perbuatan khianat yang terlarang.
B/Harian

Baca Seterusnya..

CUEPACS MINTA PENJAWAT AWAM JAUHI DARI PERHIMPUNAN HARAM 9 JULAI

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kesemua 1.2 juta penjawat awam tidak terlibat dalam perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai.Presidennya Datuk Omar Osman berkata penjawat awam tertakluk pada Etika Perkhidmatan Awam dan Aku Janji dan dilarang menyertai sebarang perhimpunan yang dianjurkan oleh pertubuhan yang tidak berdaftar.

"Jangan sesekali terlibat secara langsung bahkan jangan sesekali hadir untuk menonton (perhimpunan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan, Kesatuan Pekerja-pekerja Awam negeri Melaka kali ke-33 di Ayer Keroh, di sini Ahad.

Katanya perhimpunan haram itu hanya membuang masa dan tidak mempunyai faedah atau kepentingan kepada penjawat awam.

Beliau berkata penjawat awam yang berdegil dan engkar untuk terus menghadiri perhimpunan itu, menangggung risiko sendiri tanpa pembelaan CEUPACS sekiranya mereka ditahan oleh pihak berkuasa. BERNAMA

Baca Seterusnya..
 
 
 
 
Copyright © kpprasm