Agenda DAP hakis dominasi Melayu, karut, kata Aziz Bari

Tuesday, November 8, 2011


Kebimbangan yang cuba dibangkitkan oleh akhbar harian Utusan Malaysia bahawa DAP akan mengurangkan saiz perkhidmatan awam yang didominasi oleh orang Melayu adalah tidak berasas kerana kedudukan mereka dilindungi undang-undang, kata pakar perlembagaan negara Profesor Abdul Aziz Bari.
"Dalam mana-mana kes, kedudukan anggota perkhidmatan awam dilindungi oleh perlembagaan. Maka ketakutan yang cuba disemai oleh Utusan adalah karut semata-mata.
"Angota perkhidmatan awam tidak boleh dipecat dengan senang. Begitu juga dengan kenaikan pangkat mereka dan perkara sebagainya," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan media kepada Malaysiakini.

Beliau merujuk laporan muka depan akhbar milik Umno itu, semalam yang memetik ahli parlimen Kulim-Bandar Bharu Datuk Zulkifli Nordin sebagai berkata DAP mahu mengurangkan bilangan penjawat awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara kerana parti berkenaan tidak selesa melihat penguasaan orang Melayu.

“Mereka (DAP) memang ada agenda tersembunyi menerusi hasrat tersebut dan bukanlah semata-mata mahu mengurangkan perbelanjaan kerajaan seperti didakwa.

“Mereka ini memang tidak boleh tengok orang Melayu lebih sedikit dalam sesuatu. Kita (Melayu) memang ramai dalam sektor awam, jadi mereka cuba untuk mengurangkan penguasaan kita dalam sektor tersebut,” kata Zulkifli (kiri) dipetik Utusan.

Akhbar itu juga memetik Senator Ezam Mohd Noor berkata, DAP bersikap rasis dan menanam kebencian terhadap orang Melayu dan asas negara.

Suruhanjaya Diraja

Ahad lalu kolumnis Mingguan Malaysia, Awang Selamat juga menghentam pemimpin DAP, terutama setiausaha publisiti parti itu, Tony Pua kerana dilaporkan berkata bagi mengurangkan bajet negara, Pakatan Rakyat akan menamatkan perkhidmatan kakitangan awam yang tidak efisien seperti yang dilakukan kerajaan China.

Meskipun Abdul Aziz berkata beliau bersetuju dengan hujah-hujah yang dibangkitkan oleh Pua dan kebimbangannya mengenai perkhidmatan awam di negara ini adalah benar, namun beliau menasihatkannya supaya berhati-hati dengan isu tersebut.

"Beliau telah menimbulkan beberapa hujah yang baik tetapi beliau mesti ingat bahawa majoriti besar perkhidmatan awam yang berjumlah 1.3 juta adalah orang Melayu. Kira-kira 150,000 adalah anggota tentera dan 100,000 lagi bersama pasukan polis."

Sebaliknya, Abdul Aziz berkata, jika Pakatan Rakyat berjaya berkuasa, mereka perlu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Diraja untuk menilai kedudukan perkhidmatan awam dan mengesyorkan langkah-langkah perlu bagi memperkukuhkannya.

Ini, katanya, dapat mengatasi beberapa masalah dalam perkhidmatan awam, seperti keberkecualian yang telah terjejas, terutamanya semasa tempoh pentadbiran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini termasuk melaksanakan sumpah setia atau Akujanji dan amalan memberi kontrak kepada pegawai atasan yang melunturkan semangat kakitangan perkhidmatan awam. Etika perkhidmatan awam tercemar kerana politi.”

Menurut Abdul Aziz, kakitangan awam perlu berkecuali kepada kerajaan yang medmerintah. Kesetian mereka hanya kepada negara dengan Yang Di-Pertuan Agong sebagai lambangnya.
"Atas sebab ini, bagi saya Akujanji adalah tidak berperlembagaan," kata Abdul Aziz
(MalaysiaKini)

Baca Seterusnya..

KESATUAN SEKERJA BANTAH DAP


KUALA LUMPUR 7 Nov. – Beberapa kesatuan sekerja hari ini bangkit menentang hasrat DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam.
Sambil menyifatkan, ia satu tindakan berunsur politik dan mempunyai agenda tersirat, kesatuan-kesatuan juga menyifatkan cadangan itu sebagai tidak rasional serta tidak berasas.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, hasrat tersebut adalah tidak rasional kerana tidak mempunyai alasan yang munasabah.
“Kami di bidang perguruan khususnya menolak 100 peratus hasrat tersebut yang dilihat bukan satu langkah bijak.

“Lebih-lebih lagi peningkatan pelajar sebanyak 500,000 orang setiap tahun manakala banyak guru yang akan bersara menyebabkan keperluan guru meningkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai hasrat DAP untuk mengurangkan kakitangan awam sekiranya dipilih sebagai pemerintah negara dan mengukuhkan dakwaan bahawa parti itu tidak selesa dengan penguasaan orang Melayu dalam sesuatu bidang.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri tidak bersetuju dengan hasrat tersebut yang dilihat boleh menyebabkan kualiti perkhidmatan terjejas.

“Contohnya, dalam bidang penguatkuasaan seperti kami, sekiranya tenaga kerja dikurangkan, sudah tentu akan menyukarkan untuk mengawal jumlah kenderaan yang berjuta-juta.

“Tidak mungkin, suatu masa nanti kita mahu menswastakan perkhidmatan awam yang menyebabkan lebih mementingkan keuntungan berbanding untuk berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia (Kesukma), Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, pengurangan itu lebih membawa keburukan daripada kebaikan yang mana meningkatkan lagi pengangguran dan kebergantungan khidmat luar sehingga menyebabkan kos lebih tinggi.

“Hasrat DAP dilihat mempunyai agenda tersirat umpama ada udang di sebalik batu. Dalam perkhidmatan kami, bilangan pelajar semakin lama makin meningkat dan memerlukan penambahan kakitangan mengikut keadaan,” jelasnya.

Bagi Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) Cawangan Kuala Lumpur, Ja‘apar Mansor berkata, tidak semestinya pengurangan bilangan penjawat awam akan dapat mengurangkan bajet kerajaan malah boleh menyebabkan kesan yang sebaliknya.

Pengerusi Persatuan Pekerja Wanita, Silam Hassan berkata, pengurangan berkenaan adalah agenda DAP untuk mengurangkan hasil ekonomi orang Melayu dan ini membuktikan mereka kurang senang dengan pencapaian bumiputera kini.

“Jika penjawat awam rata-rata bangsa Melayu dikurangkan, mereka juga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak diberi peluang untuk menjawat jawatan di syarikat milik bukan Melayu,” katanya.

Menurut Presiden Kesatuan Pekerja Pekerja KTMB, Abdul Razak Md. Hassan berkata, hasrat tersebut perlu dibantah keras kerana kewujudan pelbagai sektor awam di negara ini adalah inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat di negara ini agar mempunyai punca pendapatan.

“Adakah dengan berniat mengurangkan jumlah penjawat awam maka ruang kerja akan disediakan oleh mereka yang terlibat. Ini sesuatu yang perlu dipandang serius dan ditentang kerana akan meningkatkan jumlah pengangguran,” katanya.

Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal, Kementerian Pendidikan Malaysia (KSKM), Hamran Ahmad menyatakan kenyataan yang dibuat Setiausaha Penerangan DAP, Tony Pua itu lebih berat kepada unsur-unsur politik daripada menjaga kepentingan penjawat awam yang lebih 80 peratus terdiri daripada orang Melayu.

“Mengurangkan jumlah kakitangan bermakna ada penjawat yang akan kehilangan kerja. Ini akan membantutkan perkembangan ekonomi negara dan akan memberi impak yang tidak sihat kepada negara,” katanya.

Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia turut membantah cadangan DAP dengan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Presidennya, Alias Aziz berkata, kerajaan yang baik ialah kerajaan yang dapat menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyatnya bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi negara.(utusan malaysia)

Baca Seterusnya..

Kenaikan Pangkat

Monday, November 7, 2011


Ramai penjawat awam lama terlepas peluang
Saya bersetuju dengan pendapat 'Penjawat Awam Setia'dan 'gred 17' yang disiarkan di ruangan ini(dalam ruangan surat di Berita Harian )mengenai kakitangan awam yang memperolehi ijazah sarjana serta berkelulusan diploma tidak dinaikan pangkat.

Kebanyakan kakitangan awam menyambung pelajaran mengunakan duit sendiridemi menyambut seruan kerajaan untuk meningkatkan berpengetahuan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Malangnya, apabila ada kekosongan jawatan yang dimohon dan selepas menjalani temuduga, keputusannya mendukacitakan. sebaliknya jawatan itu diberi kepada graduan baru. Jadi ,kenapa kami ditemuduga kerana ada yang berkhidmat 10 tahun tapi masih berada ditakuk lama.
Ikutkan pengalaman, kami mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan graduan yang baru lulus dan terus dilantik menjadi pegawai akhir merujuk kepada kami ( kerani cabuk) untuk menjalankan tugas.
Diharap pihak pengurusan dapat pertimbangkan sewajarnya terhadap usaha kakitangan awam yang mengambil inisiatif meningkatkan pengetahuan demi memajukan diri sediri mereka dengan membuka peluang dinaikan gred..AITEEMAN Selangor

Baca Seterusnya..

Ramai setuju bersara 60 tahun


Bebanan simpanan pesaraan dapat dikurangkan
KUALA LUMPUR: Kebanyakan pencari kerja di negara ini bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan, langkah yang mereka jangka akan mengurangkan bebanan simpanan ekoran peningkatan jangka hayat.
Dalam kaji selidik yang dijalankan oleh Jobstreet.com pada bulan lalu, 72 peratus daripada responden menyokong gesaan untuk menaikkan umur persaraan daripada 55 tahun, dengan kebanyakan mereka (34 peratus) menyatakan mereka memilih untuk bersara pada umur 60 tahun.

Sebanyak 15 peratus menyatakan mereka memilih untuk bersara pada usia 65 tahun, manakala 12 peratus berkata mereka lebih suka jika tiada umur maksimum ditetapkan bagi persaraan.

Sebanyak 84 peratus berkata, adalah perlu untuk menaikkan umur persaraan berikutan peningkatan jangka hayat akan memberikan bebanan lebih tinggi kepada simpanan, manakala 73 peratus berkata langkah itu akan memastikan pengekalan pekerja mahir, khususnya dalam profesion yang memerlukan banyak pengalaman.

Bagaimanapun, kaji selidik itu mendapati mereka yang menyokong langkah berkenaan turut bimbang pekerja yang dikekalkan mungkin menjadi kurang efektif akibat semakin berusia (46 peratus) dan juga isu kesihatan akan menghalang mereka daripada bekerja secara berkesan (46 peratus).

Menurut kenyataan itu, 28 peratus yang tidak bersetuju dengan langkah menaikkan umur persaraan ialah daripada kumpulan umur lebih muda, antara 18 dan 35 tahun ekoran kebimbangan mereka bahawa pekerja akan menjadi kurang efektif apabila usia meningkat.
Sebab kedua ialah tawaran kerja di pasaran semakin sedikit untuk graduan, katanya.

“Sesetengahnya, berpendapat pekerja berusia sepatutnya menikmati persaraan lebih awal daripada memanjangkan tempoh kerja mereka,” menurut Jobstreet.

Sementara itu, 64 peratus responden juga bersetuju skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dipinda selaras dengan umur persaraan yang baru, dengan majoritinya berharap diberikan pilihan untuk mengeluarkannya pada umur 55 tahun.

Ramai juga mencadangkan pengeluaran simpanan KWSP patut dikawal oleh skim fleksibel yang membenarkan pengeluaran sebahagian bagi mencegah pekerja daripada kehabisan dana pencen mereka. – BERNAMA




Baca Seterusnya..
 
 
 
 
Copyright © kpprasm