CABARAN MENJADI GOLONGAN GHURABA

Saturday, June 25, 2011


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Banyak perkara yang mengelirukan kita pada akhir zaman ini. Kita hidup di zaman yang penuh kekeliruan. Pemikiran kita bercampur-campur. Antara kekalutan situasi yang ada dan kerencaman pelbagai anasir yang wujud dalam menyelesaikan kekalutan itu. Banyak ketulenan sudah hilang. Agama yang asal juga diubah menurut kehendak penaja yang bercakap mengenainya. Bercampur baur antara sunnah dan bidaah. Semua perkara didagangkan, demikian agama juga dilelong. Siapakah yang jujur sukar dicari.
Setiap produk samada barangan ataupun politik cuba dikaitkan dengan nama agama untuk dilariskan jualannya. Agama dibengkuk dan dibentuk menurut kehendak pasaran. Pasaran makanan, pasaran pakaian, pasaran politik, pasaran pendidikan dan seumpamanya diberikan nama agama. Sehingga dari produk makanan, pakaian, politik dan segalanya ‘dicelup’ nama Islam. Kita pun sukar hendak pasti antara yang bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah dan jujur keranaNYA, dan yang bertujuan mendekatkan wang kepadanya dengan menggunakan nama Allah dan rasulNya.

Inilah yang berlaku kepada golongan Ahlul Kitab yang dilaknat oleh Allah. Firman Allah: (maksudnya)
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka, kemudian mereka berkata: “Ini dari sisi Allah”, supaya mereka (dengan perbuatan itu) dapat membelinya dengan harga yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu”. (Surah al-Baqarah, ayat 79).
Itulah Ahlul Kitab, mereka menggunakan nama Allah untuk produk diterima sekalipun ia sama sekali tidak berasal dari Allah dan hanya bidaah dan rekaan mereka semata.
Golongan Sedikit
Malangnya, di akhir zaman golongan yang menjadikan agama itu bersimpang siur telah menguasai keadaan. Sesiapa yang enggan dia tersepit di tengah ombak kecelaruan yang mengkaburkan. Banyak pendapat dan andaian muncul di sana-sini; sehingga kita tertanya-tanya siapakah yang jujur, siapakah yang berdagang agamanya. Siapakah yang patut kita bela? Inilah suasana dunia yang membaluti kita hari ini. Pendirian agama kita dipaksa oleh orang lain. Kita tidak diberi kebebasan berpegang dengan apa yang kita yakin dari dalil-dalil yang kita baca dari al-Quran dan Sunnah. Itu kadang-kala dianggap menyanggahi majoriti.
Kita tidak menafikan masih ada golongan yang soleh, tetapi mereka itu sedikit di akhir zaman, mereka ghuraba`. Nabi bersabda:
“Ada tetap ada suatu puak dalam kalangan umatku, yang menegakkan urusan Allah (Islam), mereka tidak dapat dimusnahkan oleh golongan yang menghina dan menyanggahi mereka sehingga tibanya janji Allah (Kiamat) mereka tetap bangkit” (Riwayat Muslim).
Kata al-Imam Ahmad: “Jika mereka bukan ahlul hadis, aku tidak tahu siapa lagi”. Ertinya golongan yang berpegang kepada nas-nas Nabi s.a.w. itu akan tetap ada, ditentang dan dilawan, namun tetap bangkit.
Ya, di akhir zaman, golongan ini minoriti. Mereka dianggap asing di tengah lautan manusia yang rosak. Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:
“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).
Ghuraba`

Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk. Pertama; asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.
Kedua; asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:
“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).
Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.
Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.
Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.
Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi s.a.w: ‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi s.a.w: (maksudnya)
“Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engku dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).
Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):
“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).
Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.

Baca Seterusnya..

PROSEDUR SALAH

KUALA LUMPUR: Pelantikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 1 Mei lalu, dikatakan bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008, Bahagian II Perkara 4(a) untuk sektor awam.Ini kerana pekeliling itu menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak, iaitu pihak peminjam (CIDB), pembekal (JKR) dan pegawai yang terbabit terlebih dulu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong. Berikutan itu, Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja (MBJ-JKR) menuntut supaya CUEPACS yang mewakili kesatuan berkenaan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ia diselesaikan berasaskan prosedur dan pekeliling itu bagi memelihara maruah serta kredibiliti pegawai sektor awam. Dalam suratnya kepada CUEPACS dan salinannya diperoleh Berita Harian semalam, gabungan lima kesatuan sekerja dalam JKR itu juga berharap Najib dan SPA dapat menamatkan konflik pelantikan Ketua Pengarah JKR yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Mesyuarat bersama MBJ-JKR di Langkawi semalam turut mengambil ketetapan supaya CUEPACS yang memayungi 1.2 juta kakitangan sektor awam, menjadi orang tengah menamatkan konflik berkenaan.
“Baru-baru ini berlaku pertukaran Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim ke CIDB tanpa persetujuan beliau. Perkara ini menjadi gawat apabila pengganti beliau sudah pun dilantik ketika jawatan berkenaan belum dikosongkan,” menurut surat itu.
Semalam akhbar ini melaporkan, Ketua Pengarah JKR yang baru, Datuk Mohd Noor Yaacob, berkata isu dua nakhoda satu kapal tidak timbul dalam JKR kerana beliau sudah menjalankan tugas secara rasmi sejak dilantik pada 1 Mei lalu walaupun Judin enggan mengosongkan biliknya.
Mohd Noor yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II, berkata beliau mula menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah, sejajar dengan surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
Pada 28 April lalu, Mohd Sidek mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Mohd Noor sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya mulai 1 Mei 2011 menggantikan Judin yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif CIDB pada tarikh yang sama.
Wartawan Berita Harian yang cuba mendapatkan ulasan Mohd Sidek mengenai perkara itu selepas satu majlis Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kampus Kuala Lumpur, semalam bagaimanapun tidak dapat menemui beliau.
MBJ-JKR juga berharap CUEPACS mengambil tindakan susulan memperbetulkan keadaan, sekali gus memastikan proses pertukaran dan peminjaman pegawai dilaksanakan dengan betul serta telus mengikut prinsip dan lunas yang digariskan Pekeliling Perkhidmatan.
“Kami juga amat berharap SPA yang sepatutnya sebuah badan bebas bagi menjaga kepentingan perkhidmatan awam, berperanan secara bijaksana dan sewajarnya bagi menangani masalah itu.
“Senario yang sedang berlaku dalam JKR mudah-mudahan tidak merebak ke kementerian, jabatan atau agensi lain. Kemurnian tindakan yang diambil secara berhati-hati dan berhemah dengan menghormati hak penjawat awam perlu, seiring dengan konsep 1Malaysia,” menurut surat itu
Surat ditandatangani Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia (MTSU), Sumardi Ali; Setiausaha Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Wilayah Persekutuan, Hashim Mahmud; Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR, Zulkifli Ahmad; Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja JKR dan Air (NUPWDE), Sayuti Dollah dan Katoman Sukiman mewakili Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia (KPAP).
Sementara itu, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda, menuntut perkara ini diselesaikan segera bagi mengelak imej negatif sektor awam, selain menjejaskan perjalanan urus tadbir JKR.
“CUEPACS merasakan konflik ini tidak seharusnya wujud kerana kebiasaannya urusan berhubung pelantikan atau pertukaran yang membabitkan pegawai perkhidmatan awam dilaksanakan secara tertib oleh JPA. Sebagai kesatuan mewakili kakitangan kerajaan, kami memandang serius kemelut dalam JKR dan amat berharap ia diselesaikan segera,” katanya

Baca Seterusnya..

5 TUNTUTAN CUEPACS

Tuesday, June 21, 2011

Prasyarat persetujui pelaksanaan PROSPEK
ALOR SETAR: CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bermula 1 Julai, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu. Tuntutan utama adalah supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan insentif bagi setiap kali kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK, Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai |CUEPACS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan isu berkaitan serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata CUEPACS mengemukakan tuntutan baru kerana tidak bersetuju dengan beberapa terma dan syarat dalam MoU yang ditandatangani dengan JPA sebelum ini.

“Kita tidak puas hati dengan beberapa perkara dalam PROSPEK dan menuntut supaya lima perkara itu diberi perhatian oleh JPA sebelum kami bersetuju dengan pelaksanaan kaedah baru penilaian prestasi kakitangan awam yang akan dikuatkuasakan bulan depan.

“CUEPACS sudah bertemu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada Khamis lalu dan beliau setuju supaya kita berbincang dengan JPA mengenai lima tuntutan itu sebelum pekeliling PROSPEK diedarkan.
“Jika pekeliling dikeluarkan tanpa perbincangan antara JPA dengan CUEPACS berhubung tuntutan itu, kita mungkin menolak pelaksanaan PROSPEK,” katanya selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pekerja RISDA Kedah ke-24, di sini semalam.

Pada 19 Mei lalu, CUEPACS telah menyatakan persetujuan mengenai PROSPEK menerusi MoU yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah bersama Omar yang mewakili CUEPACS, bagi menggantikan PTK yang dimansuhkan pada Januari lalu.

Menerusi PROSPEK, kaedah penilaian kakitangan awam tidak lagi berasaskan peperiksaan, sebaliknya ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat. Panel penilai akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.

Pelaksanaannya akan membabitkan lapan prinsip penilaian baru, iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi. Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi, memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS berharap kerajaan memberikan dua bulan bonus kepada 1.2 juta kakitangan awam akhir tahun ini, selain Elaun Kos Sara Hidup (COLA) sebanyak RM300 sebulan di seluruh negara dalam Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada Oktober nanti.

Baca Seterusnya..

JPA SEDIA TEMUI CUEPACS

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia berbincang dengan CUEPACS sebelum mengeluarkan surat pekeliling berhubung pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, setakat ini enggan mengulas mengenai lima tuntutan baru yang dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu. Sambil menjelaskan perkara itu perlu diteliti serta dibincangkan dengan pegawainya terlebih dulu, beliau berkata, PROSPEK hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan. < Justeru, beliau berkata, JPA kini dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK, termasuk garis panduan yang sudah ditetapkan.
“Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada Januari lalu adalah berasaskan peperiksaan, tetapi PROSPEK tidak ada peperiksaan, sebaliknya garis panduan.

“Sehubungan itu, JPA memperkenalkannya kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mereka membentuk suatu penilaian berasaskan PROSPEK bersesuaian dengan keperluan skim perkhidmatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar semalam melaporkan CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JPA mengenai PROSPEK bagi menggantikan PTK berkuat kuasa 1 Julai depan, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.

Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai CUEPCAS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan juga isu berkaitan, serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.

Baca Seterusnya..

SKIM GAJI LEBIH MUNASABAH KE ARAH NEGARA BERPENDAPATAN TINGGI

Friday, June 17, 2011


PENGUMUMAN Perdana Menteri mengenai pelaksanaan gaji minimum untuk pekerja berpendapatan rendah sebelum akhir tahun ini, umpama bulan jatuh ke riba bagi golongan itu.
Bukan rahsia lagi yang isu gaji minimum ini telah diperjuangkan oleh kesatuan sekerja awam dan swasta di negara ini sejak sekian lama umpama pungguk merindukan bulan.

Beberapa siri rundingan, dialog dan pertemuan telah diatur di antara pihak kesatuan, wakil kerajaan dan majikan termasuk swasta untuk mencari titik persefahaman namun kerap kali tidak mencapai kata putus.
Antara alasan yang pernah diberikan majikan khususnya pihak industri yang banyak menggaji pekerja asing untuk menolaknya; sebaik sahaja dilaksanakan, tidak akan ada pengecualian maksudnya ia meliputi semua termasuk warga asing.
Tetapi wajarkah alasan itu menjadi kekangan untuk melaksanakan skim gaji 'yang munasabah dan berpatutan' untuk pekerja di negara ini?
Perlukah kita mengorbankan kebajikan pekerja tempatan semata-mata kerana enggan membayar jumlah gaji yang sepadan kepada pekerja asing?
Difahamkan ada kalangan pekerja yang pendapatan asasnya RM600 sebulan. Malah ada pengawal keselamatan yang dibayar serendah RM500 sebulan.
Bayangkan apa yang dapat dibeli dengan wang sebanyak itu, lagi-lagi jika tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur?
Dengan gaji sekecil itu, golongan pekerja ini terpaksa berkira-kira untuk membayar sewa rumah, duit minyak baik kereta atau motor, tol dan belanja dapur yang tentu sahaja besar bagi yang berkeluarga.
Itu belum dikira belanja sekolah anak, yuran termasuk duit beli ubat apabila sakit pening.
Justeru pengumuman Perdana Menteri semasa menghadiri majlis makan malam Hari Pekerja 2011 kelmarin, sememangnya berita yang cukup menggembirakan!
Cadangan gaji minimum sekitar RM900 sebulan yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), rasanya cukup munasabah dan tidak membebankan kerajaan.
Walaupun kadarnya hanya akan diputuskan selepas Majlis Konsultasi Gaji Negara ditubuhkan, kita menaruh kepercayaan ia suatu jumlah yang melegakan.
Perkembangan terbaru ini mengesahkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mendengar keluhan rakyat bahkan membuktikan gagasan 'Rakyat Didahulukan' bukan sekadar slogan.
Ribuan maklum balas berhubung syor gaji minimum yang diterima Perdana Menteri dalam blog beliau www.1malaysia.com juga jelas tidak dibakulsampahkan.
Dalam perjalanan Malaysia menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, nasib golongan pekerja ini nampaknya tidak diabaikan sebaliknya mereka dibawa sama untuk mencapai matlamat tersebut.
Kita percaya dengan pelaksanaan gaji minimum itu kelak, golongan pekerja yang mendapat manfaat daripadanya akan membalas budi dengan meningkatkan produktiviti masing-masing.
Kita mengandaikan dengan peningkatan pendapatan itu, mereka tidak perlu lagi bersusah payah membuat kerja sambilan sehingga menjejaskan tumpuan terhadap pekerjaan hakiki.
Dengan itu, barulah gagasan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' menjadi slogan yang lengkap!

Baca Seterusnya..

LABELKAN BARANGAN BERSUBSIDI

Monday, June 13, 2011


SHAH ALAM 9 Jun - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan mencadangkan supaya setiap produk yang disubsidikan oleh kerajaan diletakkan label seperti tulisan bercetak atau pelekat.
Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan rakyat sedar bahawa beberapa barang keperluan yang dibeli menjadi lebih murah kerana diberikan subsidi oleh kerajaan yang sentiasa prihatin dengan mereka.

''Saya akan cadangkan perkara ini kepada kementerian terbabit dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat lebih menghargai subsidi yang telah diberikan kerajaan itu.
''Rakyat selama ini bukannya tidak mahu berterima kasih kepada kerajaan, tetapi mungkin mereka tidak tahu kerajaan telah menyediakan subsidi yang begitu banyak untuk mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Transformasi Penjawat Awam di Ibu Pejabat Sirim di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Fuad Hassan; Pengerusi Ahli Majlis Pengarah Institut Perkembangan Minda (Minda), Datuk Salamon Selamat dan Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Dalam Perkidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman.
Ahmad berkata, kerajaan akan meneruskan amalan pemberian subsidi selagi ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.
''Pemberian subsidi kepada rakyat adalah kebijaksanaan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana negara lain tidak ada pemberian subsidi seperti yang kita berikan.
''Ini sekali gus menjadikan barang-barang di negara ini jauh lebih murah berbanding negara-negara jiran," katanya.

Baca Seterusnya..

Berapa kos setiap pelajar?

Saturday, June 11, 2011

Oleh ROZAID A. RAHMAN

BARU-BARU ini penulis (sepertimana ibu bapa yang lain) telah menghantar anak ke salah sebuah universiti awam di Pulau Pinang untuk mendaftar sebagai pelajar baru. Penulis ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada universiti ini kerana walaupun kampus cawangannya di Pulau Pinang itu menerima sehingga 4,100 orang pelajar baru, namun segala urusan pendaftaran telah berjalan dengan lancar dan teratur. Jika ada sedikit kekurangan di sana-sini, itu adalah perkara biasa. Mana ada sistem yang sempurna di dunia ini.

Sebenarnya bukan mudah untuk mengendalikan sebuah kampus dengan jumlah pelajar yang hampir 10,000 mahasiswa apatah lagi di bawah prosedur kemasukan, semua pelajar baru diwajibkan untuk tinggal di asrama. Penulis bersyukur kerana anak penulis sepertimana anak-anak yang lain berpeluang untuk menduduki sebuah asrama baru yang serba lengkap dan moden di dalam kampus berkenaan. Kolej kediamannya cantik. Di lobi bawahnya lengkap dengan dewan makan yang besar dan terdapat sebuah bangunan bersambung yang menempatkan pasar mini untuk kemudahan pelajar membeli keperluan harian mereka.

Ketika penulis masih berkhidmat di Kementerian Pengajian Tinggi (yang mengawal selia semua universiti dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta) penulis masih ingat betapa naib-naib canselor setiap tahun berhadapan dengan cabaran dan dugaan bagaimana hendak menyeimbangkan keperluan untuk mengurus tadbirkan kampus mereka dengan tekanan dan desakan daripada ibu bapa yang sentiasa mengharapkan permohonan anak mereka diterima.Universiti pada satu sudut perlu menjaga kualiti dan juga keperluan mengurus serta mentadbir sebuah kampus yang sangat besar khususnya yang mempunyai kampus cawangan.

Barang diingat, universiti adalah ibarat sebuah negara yang tersendiri dan naib canselornya adalah perdana menteri yang mengawal selia keseluruhan kampus. Kuasanya sangat besar tetapi pada masa yang sama menggalas tanggungjawab yang besar juga.Pada satu sudut yang lain pula, universiti berhadapan dengan kekangan untuk memenuhi permintaan.

Jumlah calon yang memperolehi keputusan cemerlang semakin tahun semakin bertambah tetapi jumlah universiti tidak mudah untuk ditambah. Universiti tidak boleh wujud hanya dengan memetik jari. Ia memerlukan perancangan pembangunan, bajet, pentadbiran dan pengurusan yang kompleks dan tersangat besar.

Penulis pernah mendengar Menteri Pengajian Tinggi berkata, kerajaan boleh membina Fakulti Perubatan dan Hospital Latihan di semua universiti awam di Malaysia tetapi selepas siap, nak diisi dengan siapa? Berapa ramai doktor yang berminat hendak mengajar dan menjadi pensyarah?

Macamana hendak mengisi jawatan-jawatan pensyarah perubatan jika jumlahnya tidak cukup? Tetapi yang ingin penulis nyatakan di sini ialah, umum tidak sedar setiap tahun berapa bilion yang telah dan perlu dibelanjakan oleh kerajaan demi untuk memastikan seramai mungkin berpeluang belajar di universiti awam. Jika kita tahu dan sedar, kita tidak akan merungut panjang lagi.

Berikut adalah pecahan ringkas perbelanjaan secara umum untuk seorang pelajar setahun (mengikut kursus) di institusi pengajian tinggi awam kita:

Pelajar perubatan: Yuran pengajian setahun (RM47, 278); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM46,878). Pelajar pergigian: Yuran pengajian setahun (RM37, 802); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM37,402).

Pelajar farmasi: Yuran pengajian setahun (RM14,090); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM13,690). Pelajar kejuruteraan: Yuran pengajian setahun (RM12,593); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM12,193).

Pelajar sains komputer & matematik: Yuran pengajian setahun (RM10, 962); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,562). Pelajar senibina, perancangan & ukur: Yuran pengajian setahun (RM8, 809); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM8,409).

Pelajar perakaunan: Yuran pengajian setahun (RM9,549); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM9,149). Pelajar pengurusan perniagaan: Yuran pengajian setahun (RM11,131); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,731).

Pelajar pengurusan hotel & pelancongan: Yuran pengajian setahun (RM10,674); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM10,274). Pelajar komunikasi dan pengajian media: Yuran pengajian setahun (RM9,271); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM8,871).Pelajar undang-undang: Yuran pengajian setahun (RM11,589); Yuran asas yang hanya perlu dibayar oleh pelajar/ibu bapa setahun (RM400); Kos yang ditanggung oleh kerajaan setahun (RM11,189).

Senarai di atas adalah sekadar untuk beberapa kursus yang ditawarkan oleh universiti awam kita. Penulis percaya, lain-lain universiti awam pun kos perbelanjaan untuk seorang mahasiswa tidak jauh bezanya di antara satu sama lain. Setiap tahun adalah dianggarkan sejumlah lebih 40,000 tempat ditawarkan untuk program ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam dan lebih 35,000 untuk program diploma.

Ini belum diambil kira program diploma di politeknik, kolej komuniti dan lain-lain institusi pengajian tinggi awam.Berapa banyak kos yang telah ditanggung oleh kerajaan untuk menampung keperluan ini. Mungkin tidak ada di dunia sebuah kerajaan yang menanggung perbelanjaan belajar rakyatnya sebegitu banyak sepertimana Malaysia.

Jika tidak kerana adanya subsidi yuran pengajian yang ditanggung oleh kerajaan bagi setiap pelajar yang diterima masuk ke universiti awam kita, penulis percaya, tidak ada seorang pun daripada kita yang mampu menghantar anak-anak belajar di universiti.

Itu pun selepas kerajaan meliberalisasikan institusi pengajian tinggi negara, lebih banyak universiti swasta yang dibuka dan orang yang berada, mampu menghantar anak-anak mereka ke universiti swasta yang yuran pengajiannya adalah dua kali ganda yuran universiti awam dan tidak ada subsidi yuran pengajian yang diberikan oleh kerajaan. Oleh kerana mereka menyertai universiti swasta, mereka tidak perlu bersaing dengan anak-anak orang miskin dan golongan berpendapatan sederhana untuk mendapatkan tempat di universiti awam. Jadi itu pun kita patut bersyukur.

Dan walaupun telah diberi subsidi, penulis sendiri perlu membelanjakan hampir RM2,000 untuk menguruskan keperluan kemasukan anak ke universiti seperti pakaian, peralatan belajar, wang sara diri dan wang buku teks yang dia perlukan. Ini belum diambil kira wang sara diri setiap bulan untuk tempoh tiga tahun jika dia tidak memperolehi pinjaman atau biasiswa. Bagaimana pula dengan keluarga yang lain? Kepada ibu bapa, buatlah persediaan awal agar tidak membebankan apabila tiba masanya.

Baca Seterusnya..

Jawatan, pangkat hanya suatu amanah

KEWAJIPAN menunaikan amanah adalah tuntutan utama dalam agama Islam. Punca utama kerosakan umat, kegawatan ekonomi dan kepincangan politik hari ini adalah disebabkan amanah yang sudah tidak diberi perhatian lagi.

Kepemimpinan adalah amanah yang penting kerana ia berkait rapat dengan pengurusan umat. Abu Zar pernah meminta jawatan kepada Baginda Nabi SAW lalu Baginda menepuk bahu Abu Zar seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau tidak mampu. Jawatan adalah amanah. Ia adalah penghinaan dan penyesalan di hari kiamat melainkan mereka yang menguruskannya dengan cara yang betul.” – (Hadis riwayat Muslim)

Di sinilah bermula kesinambungan pelaksanaan agama dalam menjalankan amanah kepemimpinan yang berpaksikan kepada perintah dan tegahan daripada Allah SWT. Oleh itu, jawatan disandang akan mendorong ke arah menepati kehendak Allah seterusnya menjamin keselamatan di akhirat.

Firman Allah yang bermaksud: “Kami jadikan negeri akhirat itu untuk mereka yang tidak mengimpikan ketinggian di dunia dan tidak melakukan kerosakan.” – (Surah Al-Qasas, ayat 83)

Memetik khutbah Imam Dua Madinah, Syeikh Husain Abd Aziz, Islam mewajibkan semua pemimpin berlaku adil dalam semua urusan berkaitan kepemimpinannya sehingga Nabi SAW meletakkan kedudukan pemimpin yang adil setaraf mereka yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu mengembalikan amanah kepada empunyanya dan hukumlah dengan adil antara sesama manusia.” – (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Baca Seterusnya..

Tawakal jalan terbaik hadapi dugaan hidup

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.

Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.
Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’.

Baca Seterusnya..

Jangan terpedaya dengan jenama

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

ISLAM mengharamkan arak atau khamar sejak sekian lama. Sebabnya, ia lebih mendatangkan mudarat kepada manusia berbanding sedikit kebaikan yang diperolehi daripadanya.Bagaimanapun, usaha dan dakyah untuk ‘mengajak’ umat Islam meneguk ‘air kencing syaitan’ itu tidak pernah padam dalam diari golongan kuffar.

“Sebab itu kita tak boleh endorse semua yang di luar negara untuk kita terima begitu sahaja,” tegas beliau.Abdul Halim menambah, adalah menjadi tugas setiap Muslim menjaga diri masing-masing dalam bab halal haram makan dan minum.

Sebabnya, kata beliau, sijil halal dan definisi halal itu ditentukan oleh manusia dan ada yang tidak bertanggungjawab memalsukan sijil tersebut.

“Asasnya, kita sendiri kena pastikan dan perlu elak terlibat benda-benda syubhat. Kalau terdetik atau ragu-ragu halal atau haram sesuatu makanan atau minuman itu, maka pilihlah haram.

“Kita tidak rugi. Lagipun sikit sangat makanan dan minuman yang diharamkan oleh Islam berbanding yang halal dimakan,” katanya.

Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Yang halal adalah jelas dan yang haram adalah jelas. Di antara ke dua-duanya terdapat perkara syubhah yang tidak diketahui oleh ramai manusia. Sesiapa yang takut kepada syubhah, maka sesungguhnya terselamatlah agamanya dan maruahnya. Sesiapa yang terlibat dengan perkara syubhah, maka ia terjatuh kepada melakukan perkara yang haram... (riwayat Muslim)

Baca Seterusnya..
 
 
 
 
Copyright © kpprasm